BELURAN : Tiga sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak lelaki terperangkap dalam banjir di Kampung Kemansi, berjaya diselamatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) petang semalam.
Menurut Komander Operasi PB Safuddin Saridin, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.05 tengah hari sebelum mengerahkan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran ke lokasi sejauh 50 kilometer.
“Pasukan bomba bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk setempat segera menjalankan operasi pemindahan menggunakan bot NADMA.
“Ketiga-tiga mangsa, iaitu seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa, dan seorang kanak-kanak lelaki, dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan SMK Pamol dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Operasi tamat pada jam 3.12 petang, dan pihak berkuasa akan terus memantau situasi banjir dari semasa ke semasa.