Lelaki hilang disambar buaya ketika memancing

SANDAKAN : Seorang lelaki berusia 50 tahun dilaporkan hilang selepas disambar buaya di Batu 10, Kampung Sungai Batang Baru, di sini semalam.

Menurut saksi, mangsa pada ketika itu sedang menabur baja ke dalam sungai sebelum memulakan aktiviti menangkap ikan menggunakan rambat.

“Beliau kemudian disambar buaya dan hilang,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 5.40 petang.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan segera menggerakkan tujuh anggota diketuai Komander Operasi PBK II Chauslim Sunsubin ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan usaha pencarian sedang giat dijalankan. Maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.