KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sentiasa memastikan golongan wanita mendapat peluang dan faedah sama rata di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, selain melantik lebih ramai wanita sebagai pembuat dasar dan keputusan dalam pelbagai sektor perkhidmatan awam.
Katanya, kerajaan tidak mengabaikan usaha untuk memperkasakan golongan itu yang terbabit dalam perniagaan kecil dan sederhana.
“Pelbagai peluang dan program telah disediakan dan akan dilaksanakan untuk manfaat usahawan, bukan hanya golongan muda tetapi juga individu lain yang ingin menceburi bidang keusahawanan.
“Program Pembangunan Usahawan Belia (SYABAS) di bawah Kementerian Belia dan Sukan Negeri telah memberi manfaat kepada lebih 5,000 belia dalam pelbagai perusahaan di seluruh negeri,” katanya di sini hari ini.
Teks ucapannya, dibacakan Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.
Hajiji berkata, setakat ini 8,031 usahawan PKS berdaftar dengan MIDE dan berharap lebih ramai akan mengambil bahagian untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi sendiri dan negeri Sabah.
“MIDE telah mengenal pasti 87 usahawan untuk menyertai pelbagai bidang perdagangan dan ekpo dunia di luar negara untuk memasarkan produk mereka ke pasaran antarabangsa pada tahun ini.
“Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda merupakan satu lagi inisiatif utama dalam Belanjawan Negeri Sabah 2025 untuk membantu usahawan wanita muda di negeri ini,” jelas Hajiji.
Menurutnya, sekitar 200 usahawan wanita muda di Sabah akan menerima manfaat daripada program itu yang dikenali sebagai Daya Upaya Peluang Usahanita (DAYANG), yang turut menawarkan pakej pinjaman yang menarik.