KOTA KINABALU : Tiada isu Sabah diberikan peruntukan yang kecil, iaitu antara enam hingga tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan yang diagihkan kerajaan kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di seluruh negara setiap tahun.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LPP, Amir Matamin, berkata pengagihan peruntukan kepada setiap negeri bergantung kepada permohonan projek yang dikemukakan kepada LPP.
“Tiada isu enam peratus atau kurang, ia lebih kepada keperluan setempat nak mohon projek sebab LPP menyediakan program. Jika ia sesuai dengan skop dan apa yang perlu dilaksanakan, kita akan salurkan.
“Kita nak pastikan supaya peruntukan yang disalurkan kerajaan berjaya dan boleh meningkatkan sosio ekonomi. Sebab itu dalam penilaian projek kita amat berhati-hati dan hanya memberikan kepada mereka yang layak dan dapat melaksanakan projek.
“Ia bukan setakat berikan ‘touch point’. Kita nak supaya peruntukan kerajaan itu boleh meningkatkan pendapatan secara berterusan, bukan hanya setahun dua saja,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Taklimat Peranan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) dan Ahli Pertubuhan Peladang (PP) Dalam Projek-Projek, di sini, semalam.
Beliau merujuk kepada peruntukan diagihkan LPP di Sabah yang hanya RM4.9 juta atau tujuh peratus daripada RM71 juta pada tahun ini dan RM3.9 juta atau enam peratus daripada RM71 juta pada tahun lalu.
Dalam hal itu, katanya Pertubuhan Peladang perlu terlibat secara aktif dalam program pembangunan pertanian bagi membantu ahli dengan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan disediakan LPP.
“Tapi kita perlukan permohonan dan idea daripada kawasan masing-masing bagaimana kita boleh menggerakkan sebagai satu sinegri supaya peladang kita terbela dari segi projek yang ingin dilaksanakan.
“Sesungguhnya kerajaan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim amat prihatin terhadap golongan peladang. Kita ambil berat keluh kesah dan isu berbangkit dalam soal bagaimana kita dapat membantu meningkatkan pendapatan ahli dan Pertubuhan Peladang dalam sub sektor pertanian,” kata Amir.