KOTA KINABALU: Klinik Kesihatan Putatan perlu dinaiktaraf menjadi sebuah ‘Hospital Awam’ memandangkan ketika ini tidak dapat menampung jumlah pesakit untuk mendapatkan rawatan pada setiap masa.
Ketua Bahagian UMNO Putatan berkata, ketika ini keadaan sangat menyedihkan apabila ruang keluasan klinik kesihatan Putatan tidak lagi dapat menampung jumlah peningkatan pesakit sekali gus dilihat sesak dengan kehadiran pesakit luar.
Katanya, masalah keadaan tempat parkir sangat terhad menyebabkan kenderaan pesakit terpaksa meletakkan kenderaan jauh daripada kawasan klinik berkenaan.
“Mereka sudah sakit ditambah lagi terpaksa berjalan kaki untuk mendapat rawatan dilihat memberikan beban kepada pesakit.
“Penempatan Pegawai Perubatan perlu ditambah bagi mengurangkan masa menunggu kepada pesakit untuk mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan.
“Isu penambahbaikkan Klinik Kesihatan Putatan perlu disegerakan oleh pihak Kementerian Kesihatan dengan populasi penambahan penduduk di Putatan agar ianya relevan dengan jumlah kepadatan penduduk di Putatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jeffrey Nor merupakan Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah berkata, ruang pesakit puan perlu diasingkan dengan pesakit luar berikutan ramai wanita mengandung terpaksa duduk bersama pesakit lain.
“Saya mencadangkan agar pihak Jabatan Perparitan dah Saliran Sabah membuat kajian terperinci cara mengatasi masalah banjir kilat di sekitar kawasan Klinik Kesihatan Putatan.
“Apabila hujan lebat berlaku banjir kilat yang sudah tentu menyukarkan pihak kakitangan termasuk kalangan mereka yang mendapatkan rawatan,” kata Jeffrey.