Bajet 2024: Peruntukan besar pembangunan perlu kepada Sabah – Bung Moktar

KOTA KINABALU : Bajet 2024 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada esok 13 Oktober oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim   diharap dapat memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur terutama di Sabah  khususnya di kawasan luar bandar selain menangani kenaikan harga barangan.

Pengerusi Barisan Nasional Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata melalui bajet itu, kerajaan dapat mengambil langkah berkesan dalam membangunkan negeri ini seperti dijanjikan sejak sekian lama, terutamanya dalam aspek pembangunan kemudahan asas di kawasan luar bandar yang masih jauh ketinggalan dalam arus pembangunan perdana.

Katanya sudah tiba masanya kerajaan memberi fokus dalam memajukan Sabah dengan menaik taraf infrastruktur seperti memperbanyakkan jalan raya berturap, bekalan air bersih, elektrik antara isu pembangunan yang agak kritikal dan membelenggu kehidupan rakyat Sabah yang tiada kesudahannya.

“Bagi melengkapkan kemudahan asas ini sudah tentu memerlukan satu peruntukan yang agak tinggi kerana ianya melibatkan tiga kompenan insfastruktur asas yang diperlukan oleh rakyat Sabah bagi menjalani kehidupan yang lebih baik dan sempurna.

“Justeru menjadi harapan rakyat Sabah dalam belanjawan kali ini Sabah akan memperolehi peruntukan yang lebih tinggi berbanding  sebelumnya bagi mempastikan insfrastruktur asas dapat ditingkatkan di negeri ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini bagi mengulas bajet 2024 yang bakal dibentang esok.

Menurut Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan walaupun Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor memberikan jaminan isu insfrastruktur asas jalan raya, air dan elektrik   akan dapat diselasaikan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, namun ianya bukanlah sesuatu yang mudah dengan kekangan kewangan tanpa bantuan dari Kerajaan Pusat.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata kerajaan pusat akan memberikan peruntukan untuk meneruskan pelaksanaan pakej Lebuhraya Pan Borneo yang masih belum siap pelaksanaannya dan ada yang terbengkalai.

“Sstem perhubungan yang baik akan menjadi akses bagi pergerakan keluar masuk antara daerah ke daerah termasuk dari negara jiran Brunei malah kita perlu bersedia apabila jalanraya antara Kalabakatan ke Serudung siap yang akan menghubungkan ke Si Manggaris di Kalimantan dengan perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan ianya  bakal membawa perubahan dan pendapatan rakyat tempatan Sabah, “ katanya

Selain daripada itu, Bung Moktar juga berharap dalam Bajet 2024 kerajaan akan turut mengkaji kadar peruntukan setiap ahli Parlimen Kerajaan yang kini sekitar RM2 juta setahun untuk satu kawasan Parlimen.

“Peruntukan ini agak kecil untuk membangunkan satu kawasan Parlimen berbanding dengan keluasan dan keperluan rakyat terutamanya dari segi penyediaan insfratruktur asas..bayangkan bagi kawasan Parlimen Kinabatangan sahaja ianya seluas negeri Pahang dengan peruntukan yang ada agak sukar untuk memenuhi  keperluan pembangunan untuk rakyat.

” Justeru Kerajaan Perpaduan perlu mengambil kira faktor ini dengan menambah jumlah peruntukan untuk setiap ahli Parlimen Kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu Bung berkata Bajet 2024 juga diharap dapat memperkenalkan inisiatif-inisaitif yang berkesan dalam menyelesaikan kenaikan harga barang yang dilihat semakin membebankan pengguna terutama melibatkan makanan dan keperluan harian.

“Kita harap dalam Bajet 2024  kerajaan dapat mencari inisiatif terbaik, kerana sejak akhir-akhir ini isu kenaikan harga barang di Sabah sangat ketara  dan membebankan rakyat terutamanya B40,” katanya.

Beliau turut memberi cadangan supaya Bajet 2024 memperkenal insiatif untuk menggalakkan lebih ramai peniaga melaksanakan promosi jualan barangan keperluan seperti Program Jualan Rahmah yang  dilaksanakan kerajaan dan diperluaskan ke kawasan luar bandar .