Tetapkan sasaran untuk capai keuntungan dalam QSB – Dr Yusof

Dr Yusof Yacob

KOTA KINABALU: Qhazanah Sabah Berhad (QSB) menetapkan sasaran untuk mencapai tadbir urus korporat sekali gus memastikan prestasi keuntungan dapat dicapai oleh setiap anak syarikat dibawahnya.

Pengerusinya, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, tumpuan diberi perhatian kepada semua Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Tertinggi QSB perlu bekerjasama mencapai matlamat iaitu membawa keuntungan kepada syarikat.

Katanya, keuntungan ini sudah tentu akan dinikmati kerajaan negeri melalui peningkatan pulangan dividen dan manfaat-manfaat sosio ekonomi kepada masyarakat dan seluruh warga syarikat.

“Saya percaya QSB dapat merealisasikan objektif syarikat ini untuk menjadi salah satu pemacu utama dalam mengembangkan bukan sahaja ekonomi dan sosial malah juga melahirkan individu dengan mentaliti kelas pertama.

“Kita mahu agar semua menjalankan tanggungjawab dengan telus untuk menambah nilai kepada fungsi syarikat pelaburan strategik milik kerajaan negeri yang menyumbang aktif kepada hasil Sabah,” katanya kepada Sabah News Today selepas Sesi Townhall QSB di sini, hari ini.

Dr Yusof merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin berkata, antara sektor yang boleh diteroka melalui anak syarikat QSB termasuk sektor kesihatan, tenaga lestari dan telekomunikasi dengan mengutamakan aspek tadbir urus melalui penubuhan Unit Integriti dan Governans (IGU).

“Pada masa sama, kita sudah menempatkan Pegawai Integriti dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di QSB dan penubuhan Unit Polisi dan Pematuhan bagi memastikan keyakinan pelabur dapat dipertingkatkan.

“QSB mahu memperkasakan penglibatan dalam sektor kesihatan sama ada perkhidmatan atau sokongan melalui anak syarikat WH Medicare Sdn Bhd.

“Selain itu, kita juga akan memperkasakan pembangunan infrastruktur digital di  Sabah melalui program Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dilaksanakan oleh Common Tower Technologies Sdn Bhd (CTTSB),” jelas Dr Yusof.