Lelaki terlibat kes rogol dan samun dihadap ke Mahkamah Sesyen Sandakan

SANDAKAN : Seorang lelaki warga asing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi lima pertuduhan termasuk merogol dan menyamun.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Polis (ACP) Abdul Fuad Abdul Malek berkata tertuduh yang berusia 30-an telah ditahan dalam tempoh 48 jam selepas melakukan jenayah itu pada 27 September lepas.

“Kejadian rogol dan samun itu melibatkan seorang wanita berusia 20-an. Tertuduh berjaya ditangkap pada 29 September lepas hasil kerjasama orang awam termasuk bantuan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.

“Tertuduh telah dihadapkan di mahkamah pagi ini atas lima pertuduhan iaitu merogol, menyamun, menghalang penjawat awam menjalankan tugas, memiliki senjata berbahaya selain disahkan positif dadah jenis syabu,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 376 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam sidang media sama, Abdul Fuad memberitahu Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sandakan berjaya menumpaskan kegiatan jenayah di sekitar Sandakan melibatkan dua kumpulan iaitu Geng Sultan dan Geng Kancil/Geng Along.

Katanya, Geng Sultan yang dianggotai seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Filipina telah ditangkap pada 20 September lalu di tepi Jalan Lintas Labuk, Batu 8.

Sementara itu, katanya, Geng Kancil/Geng Along yang dianggotai empat lelaki telah berjaya ditangkap di sekitar daerah ini secara berasingan pada 15 September lalu.

“Susulan tumpasnya Geng Sultan, pihak polis telah berjaya menyelesaikan sebanyak 12 kes pecah rumah, manakala Geng Kancil/Geng Along pula melibatkan 25 kes pecah kedai dan curi kenderaan.

“Kesemua suspek yang terlibat dalam dua kumpulan ini juga telah disahkan positif dadah jenis syabu,” jelasnya.

Sebanyak 20 unit barangan seperti gelang emas, telefon bimbit, televisyen, pembesar suara, tong gas dan tabung derma telah dirampas dengan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan bernilai RM59,000.