Terminal Feri Antarabangsa Labuan bakal naikkan kadar fi bermula 1 Nov

LABUAN: LDA Holding Sdn. Bhd akan menaikkan kadar fi di Terminal Feri Antaranbangsa Labuan (TFAL) berkuatkuasa 1 November depan.

Ketua Pegawai Eksekutif, LDA Holding Sdn. Bhd, Noor Halim Datuk Zaini, berkata kenaikan kadar baru fi itu akan dinaikkan kepada RM3 bagi laluan domestik yang menghubungkan Labuan  dengan Sipitang dan Menumbok di Sabah serta Lawas dan Limbang bagi Sarawak, manakala fi untuk laluan ke Brunei akan dinaikkan kepada RM5.

“Kenaikan itu merupakan kali pertama dilakukan selepas 17 tahun fi itu diperkenalkan dan kenaikan itu terpaksa dilakukan bagi menanggung kos operasi yang meningkat selepas kewangan syarikat terjejas akibat pandemik COVID 19,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, kelmarin.

Noor Halim berkata, hasil daripada kenaikan fi itu akan digunakan bagi menambah baik kemudahan yang sedia ada dan ini secara tidak langsung akan dapat memberikan manfaat kepada penumpang yang menggunakan terminal tersebut.

Sementara itu, beliau tidak menafikan kenaikan itu akan menyebabkan berlakunya peningkatan harga tiket bagi laluan yang terlibat.

Maklumat lanjut mengenai perkembangan terkini  mengenai kadar baharu itu  boleh diperolehi daripada laman rasmi Terminal Feri Antarabangsa Labuan atau menghubungi terus ke talian 016-8772117.