Penutupan Kilang blok ais jejaskan periuk nasi nelayan di Karamunting

SANDAKAN: Sebuah kilang blok ais di Karamunting yang diarahkan tutup selama tiga bulan telah menjejaskan periuk nasi nelayan setempat di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin berkata ramai nelayan di kawasan itu tidak dapat ke laut kerana tiada bekalan blok ais.

“Saya difahamkan nelayan di sini memerlukan lebih kurang 100 blok ais setiap kali mereka keluar ke laut untuk memastikan kesegaran hasil tangkapan.

“Apatah lagi dengan cuaca sekarang yang amat panas, nelayan memang memerlukan bekalan blok ais,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu beliau telah berjumpa dengan pengendali kilang blok ais di Karamunting bagi mendapatkan maklumat mengenai notis penutupan itu.

Difahamkan, kilang tersebut telah diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Sandakan tiga bulan lalu selepas gagal memenuhi syarat pengendalian yang telah ditetapkan.

“Saya telah menghubungi Pegawai Kesihatan Sandakan Dr Johari Awang Besar untuk masalah ini dan beliau telah menerangkan kepada saya mengenai syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh kilang tersebut.

“Oleh itu, saya telah menasihati pihak kilang agar membuat kerja-kerja pembersihan dan penambahbaikan di dalam kilang supaya mereka dapat diberi kelulusan untuk kembali beroperasi semula,” katanya.

George berharap agar usaha beliau untuk menyelaras perbincangan di antara tiga pihak itu akan membuahkan hasil sekaligus membantu golongan nelayan untuk kembali kepada jadual tangkapan ikan mereka yang normal.

Jelasnya, kilang tersebut kini sedang giat berusaha untuk membersihkan dan menambahbaik kemudahan dan beliau yakin kilang itu akan dapat dibuka semula tidak lama lagi.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang telus berkongsi maklumat dan saya percaya jika kita boleh duduk berbincang bersama secara tenang, semua pihak akan dapat mencapai situasi menang-menang,” tambah George.