Dua lagi taman perindustrian baharu akan dibuka di Sabah bagi tampung keperluan semasa- Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri merancang untuk membuka dua lagi taman perindustrian bagi menarik kemasukan pelabur dan merancakkan sektor perindustrian negeri, Kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Beliau berkata dua taman perindustrian itu masing-masing untuk industri minyak dan gas di Kimanis dan perindustrian biasa yang lokasinya terletak di antara Kota Belud dan Kota Marudu.

Katanya, pembukaan dua taman perindustrian baharu itu bagi menampung keperluan semasa berikutan kawasan sedia ada di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) sudah hampir penuh.

“Usaha ini juga sejajar dengan pendekatan mesra pelabur yang diamalkan kerajaan negeri untuk merancakkan lagi pertumbuhan industri di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan menjunjung kasih Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sabah sempena sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-70 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.

Hajji berkata  pembukaan dua taman perindustrian baharu itu sejajar dengan tekad kerajaan negeri untuk memperhebatkan lagi pembangunan Sabah dan menambah baik kualiti hidup rakyat menerusi pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif yang meliputi pelbagai sektor pembangunan.

Beliau berkata, kerajaan negeri ketika ini berada dilandasan yang tepat menerusi pelaksanaan agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang kini mula menampakkan hasil positif.

Katanya, berdasarkan laporan Statistik Perdagangan Luar Negeri Sabah, negeri ini mencatat jumlah perdagangan sebanyak RM118.1 billion pada tahun lalu yang merangkumi eksport sebanyak RM77.2 billion dan import RM40.9 billion, dengan lebihan dagangan sebanyak RM36.2 billion.

“Dari segi eksport ia membabitkan produk perdagangan utama antaranya petroleum mentah, minyak kelapa sawit dan gas asli cecair, manakala import kita ialah jentera dan kelengkapan pengangkutan, makanan serta barangan keluaran kilang.

“Walaupun pencapaian ini amat memberangsangkan, namun banyak lagi yang perlu kita lakukan untuk tahun-tahun mendatang, khususnya dalam tiga teras utama Hala Tuju SMJ iaitu sektor perindustrian, pertanian dan pelancongan,” katanya.

Hajiji berkata, sektor pelancongan Sabah pula mencatat ketibaan pelancong yang besar iaitu 1.4 juta pengunjung dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini, masing-masing 999,129 pelancong tempatan dan 424,052 orang pelancong antarabangsa.

Perkembangan itu, katanya, menggambarkan pertumbuhan kukuh sektor pelancongan Sabah pada tahun ini dan masa akan datang.

“Sesungguhnya, kerajaan negeri adalah kerajaan yang bertanggungjawab, bukan saja memikir dan merancang, malah lebih penting ialah melaksanakan agenda pembangunan.

“Kerajaan negeri komited dan akan berusaha untuk menyelesaikan masalah-masalah legasi yang kita warisi seperti bekalan air dan elektrik demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Hajiji dan isteri Datin Seri Juliah Salag menghadiri Istiadat Perbarisan sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-70 Yang di-Pertua Negeri di Padang Merdeka, di sini.

Istiadat perbarisan itu disertai 88 kontinjen yang terdiri daripada jabatan kerajaan tidak berpakaian seragam rasmi, agensi swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan etnik Sabah, institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan sekolah rendah serta menengah.