KOTA KINABALU: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) hari ini sudah berada di hadapan, ia bukan lagi kelas kedua.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mustapha Sakmud berkata malah pendidikan yang berasaskan kemahiran ini sudah diiktiraf tinggi oleh industri dan majikan di luar sana.

Katanya pengiktirafan ini termasuklah menawarkan sumber pendapatan yang lebih lumayan berdasarkan tahap kemahiran graduan TVET.
“Dalam beberapa siri lawatan saya dalam program yang saya gelar Jejak TVET Madani iaitu menjejaki alumni-alumni ILP yang berjaya membuka perniagaan dan mencipta pekerjaan, saya amat kagum dengan perkembangan graduan ILP.
“Saya ke Kedah, Melaka, Terengganu dan kemahiran di Kuching, kejayaan anak-anak muda lulusan TVET ini amat membanggakan, ada yang meraihkan jutaan ringgit,” katanya pada ucapan penangguhan Karnival Latih Madani peringkat Parlimen Sepanggar di Sabah Skills and Technology Centre Taman Industrial Kota Kinabalu (KKIP), hari ini.
Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia, beliau sentiasa menekankan aspek kemahiran untuk diterokai oleh segenap lapisan masyarakat terutamanya anak-anak muda.
Beliau berkata bertepatan dengan nama Karnival Jom Latih Madani, seperti yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri, ia dapat memastikan bahawa TVET tidak hanya memberikan kemahiran yang relevan, tetapi juga mendorong pembangunan insan yang seiring dengan nilai-nilai dan aspirasi Malaysia MADAN.
Katanya ia meliputi Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan, dan Ihsan menjadi landasan dalam membentuk tenaga kerja yang berkualiti.
“Kita mahu melahirkan teknokrat ummatik, yang celik pada akal, mahir lagi cekap serta tinggi pada adab.
“Melalui pelaksanaan TVET yang berlandaskan konsep Malaysia MADANI, kita membina tenaga kerja yang profesional, terampil, serta mempunyai integriti, tanggungjawab sosial dan semangat kebersamaan,” kata Mustapha.