Remaja lelaki cedera dalam kemalangan dua kenderaan di Sandakan

SANDAKAN: Seorang remaja lelaki cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kenderaan dan motorsikal di Batu 4 Jalan Utara, malam semalam.

Menurut Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, mangsa yang cedera dikenali sebagai Putera Mohd Irfan Jalil, 16, merupakan penunggang motorsikal.

Remaja lelaki cedera dalam kemalangan dua kenderaan di Sandakan.

Katanya, 10 anggota bersama dua kenderaan utiliti digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 lebih kurang jam 10.32 malam Sabtu.

“Laporan awal kebakaran melibatkan sebuah motorsikal Yamaha LC dan Perodua Myvi yang terbakar 100% akibat dari kemalangan jalan raya.

“Seorang penunggang motorsikal cedera di kaki manakala empat orang mangsa di kenderaan Perodua Myvi tidak mengalami apa-apa kecederaan,” kata kenyataan itu.

Remaja lelaki cedera dalam kemalangan dua kenderaan di Sandakan.

Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran motorsikal menggunakan 1 aliran salur bantu mula (hose reel).

Mangsa yang cedera diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS dan dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan menggunakan jentera EMRS.

Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada jam 11.13 malam.