Kekalkan keharmonian dan keamanan demi kemakmuran negeri

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama perlu bersama-sama mengekalkan keamanan dan keharmonian seperti yang dihasratkan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata ia bagi memastikan rakyat dapat terus hidup selesa dan makmur lebih-lebih lagi dalam usaha untuk terus membangunkan negeri ini.

Kekalkan keharmonian dan keamanan demi kemakmuran negeri

“Kepelbagaian suku kaum, etnik, agama dan budaya di negeri ini adalah lambang keharmonian serta keunikan yang amat bernilai. Ia bukan sahaja menjadikan negeri ini unik dalam aspek keharmonian dan perpaduan tetapi juga adalah khazanah yang perlu dikekalkan untuk generasi akan datang.

“Saya berharap suasana ini sentiasa kita jaga dan pertahankan dengan cara menjaga perpaduan dan saling hormat menghormati demi kesejahteraan hidup seluruh rakyat Sabah,” katanya pada Majlis Jamuan Negeri sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-70 Tun Juhar, di sini, semalam.

Pada masa sama, Hajiji juga mahu kerjasama semua barisan kepimpinan negeri agar dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh ikhlas, jujur, taat dan setia, berdedikasi serta berintegriti.

“Kepercayaan yang diberikan oleh rakyat hendaklah digalas dengan sepenuh hati agar agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) mampu kita capai bersama dengan penuh kecemerlangan,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga akan berusaha menyediakan pelbagai kemudahan dan infrastruktur kepada rakyat terutamanya golongan belia seperti latihan dan kursus bagi mempelajari serta meneroka kemahiran baharu sehingga mampu menjana pendapatan bagi membantu ekonomi keluarga.