Tempahan tiket penerbangan ke Kota Kinabalu kembali meningkat

PETALING JAYA: Syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) mencatatkan peningkatan tempahan ticket ke Sabah selepas Kerajaan Negeri melonggarkan syarat ujian calitan Covid-19 kepada pengunjung datang ke negeri ini bermula 1 Disember.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Kapten Izham Ismail berkata, penjualan tiket bagi penerbangan ke Kota Kinabalu adalah yang tertinggi untuk MAS sepanjang tempoh pameran Matta Fair di Kuala Lumpur yang berakhir baru-baru ini.

Jefry bersama Joniston menerima cenderahati selepas kunjungan baru-baru ini.

Beliau berkata demikian kepada delegasi Sabah yang diketuai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Jafry Ariffin, yang mengadakan pertemuan dengannya di Akademi MAB di Petaling Jaya, Selangor, kelmarin.

Turut hadir adalah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai; Ketua Pegawai Eksekutif STB, Noredah Othman; dan Ketua Pegawai Pemasaran STB, Tay Shu Lan.

Jefry bersama Joniston mendengar taklimat daripada MAS.

Izham berkata, Sabah adalah hab penting bagi mereka dan MAS telah meningkatkan penerbangan mingguannya ke Kota Kinabalu daripada 68 kepada 75 penerbangan dari November hingga Disember tahun ini.

Tambah beliau, syarikat penerbangan itu akan menyambung semula perkhidmatan penerbangan antara Pulau Pinang dan Kota Kinabalu mulai 1 Disember ini.

Dengan sempadan antarabangsa dijangka dibuka semula tahun depan, MAS juga menyatakan persedian mereka untuk membawa masuk pelawat antarabangsa ke negara ini dan seterusnya ke Sabah.

Sementara itu, Jafry berkata, penjualan tiket penerbangan yang memberansangkan itu merupakan petunjuk bahawa pelancongan semakin pulih dan ramai rakyat Malaysia masih bersemangat untuk melawat Sabah.

“Kementerian kami dan STB sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan MAS untuk mewujudkan semula penerbangan terus domestik dan antarabangsa ke Sabah.

“Kami menyasarkan untuk melihat ketibaan pelawat meningkat selepas sekian lama industri pelancongan terhenti, dan ini tidak akan dicapai tanpa bantuan daripada syarikat penerbangan,” katanya.

Pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS itu adalah sebahagian daripada penglibatan berterusan STB dengan syarikat-syarikat penerbangan.

Pada 19 Nov, perwakilan  STB yang diketuai oleh Joniston mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Riad Asmat bagi membincangkan rancangan masa depan syarikat penerbangan tambang murah itu untuk Sabah.

Perancangan juga sedang dibuat untuk bertemu dengan pengurusan Malindo Air.