Ahli Parlimen Kinabatangan cadang sekolah perpaduan diwujudkan

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen hari ini mencadangkan agar sebuah sekolah perpaduan yang mempunyai pelbagai aliran diwujudkan bagi meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar berbilang kaum dan agama.

Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata walaupun sekolah perpaduan mempunyai aliran kebangsaan, Cina, Tamil dan lain-lain, sekurang-kurangnya pelajar berada di dalam satu kawasan sekali gus berkongsi hidup dengan aman damai tanpa lupa asal usul.

“Boleh ada ajaran kelas (aliran) sekolah-sekolah begini, tetapi carilah sekolah perpaduan, wujudkan sekurang-kurangnya mereka duduk dalam satu bumbung, berkongsi dewan, berkongsi kantin, dan berkongsi padang, barulah ada cetusan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Perpaduan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Bung Moktar berkata sekiranya perpaduan dalam negara diurus dengan sebaik mungkin, masyarakat di luar tidak akan cuba mengganggu gugat keharmonian negara kerana mereka tahu perpaduan itu amat penting untuk semua pihak.

– BERNAMA