Tahun Baharu Cina 2026 Perkukuh Perpaduan dan Keharmonian Rakyat Sabah

KOTA KINABALU:  Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baru Cina 2026 kepada seluruh masyarakat Tionghoa yang meraikan perayaan tersebut di negeri ini.

Menurut beliau, sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini diharapkan membawa sinar kebahagiaan, kesihatan yang berpanjangan, kejayaan serta kemakmuran kepada semua.

“Semoga perayaan ini bukan sahaja diraikan dengan penuh kegembiraan bersama keluarga dan insan tersayang, malah menjadi pemangkin kepada perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan kepentingan memperkukuh hubungan silaturahim serta memupuk sikap saling menghormati kepelbagaian budaya yang menjadi asas kekuatan dan kemakmuran negara.

Tambahnya lagi, kepelbagaian kaum dan budaya yang wujud di Sabah merupakan keistimewaan yang perlu terus dipelihara demi memastikan kestabilan serta pembangunan berterusan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.

Terdahulu, pelbagai pihak termasuk pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan turut menyampaikan ucapan sempena perayaan tersebut yang bakal disambut dalam suasana penuh muhibah di seluruh negara.