KV Keningau Juara Pertandingan Inovasi NB University College

KENINGAU: Pelajar Kolej Vokasional Keningau (KVK) mencipta kejayaan apabila muncul juara dan turut meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Inovasi Alat Bantu Mengajar daripada Bahan Kitar Semula anjuran North Borneo University College pada 14 Februari lalu.

Pasukan Teknologi Elektrik KVK dinobatkan sebagai johan menerusi projek “Mini Electric Distribution” sekali gus membawa pulang wang tunai RM150, sijil, plak dan hamper makanan.

Pasukan itu dianggotai tiga pelajar tahun empat program berkenaan iaitu Claijster Christian Sylvester, Alleyson Voo dan Alleyya Deeva Tommy.

Projek berkenaan merupakan model rumah yang dilengkapi sistem pendawaian elektrik bagi menunjukkan kaedah penjanaan dan pengagihan kuasa elektrik kepada peralatan di dalam rumah. Inovasi itu juga berperanan mendidik kanak-kanak mengenai asas keselamatan elektrik.

Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik pelajar tahun empat Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Jonnathen Ng menerusi inovasi bertajuk “HoGrowBook”.

Beliau menerima wang tunai RM75, sijil, plak dan hamper makanan. “HoGrowBook” ialah buku interaktif yang mengandungi pelbagai aktiviti bagi merangsang perkembangan kanak-kanak termasuk kemahiran motor halus serta kepekaan deria.

Rombongan KVK diiringi guru cemerlang Teknologi Elektrik, Ts. Haini Kotin dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Ts. Michael Dungki.

Tempat kedua pertandingan dimenangi pelajar daripada institusi penganjur.

Pengarah KVK, Lumang anak Lang berkata, beliau berbangga dan terharu dengan kegigihan pelajar serta tenaga pengajar dalam memperkembangkan inovasi masing-masing.

Menurutnya, kejayaan itu merupakan pencapaian kedua kolej berkenaan dalam bidang inovasi pada minggu sama selepas meraih dua pingat emas dan anugerah pembentangan terbaik dalam pertandingan di Kolej Vokasional Tawau menerusi pasukan berbeza.

Pertandingan tersebut terbuka kepada belia dan pelajar berusia 17 hingga 25 tahun serta disertai guru prasekolah dan pelajar universiti serta kolej vokasional.