KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS), mengakui peranan media arus perdana dan profesional sebagai “benteng ketelusan” ketika universiti itu berdepan krisis bekalan air serta beberapa isu tular yang mencabar reputasinya tahun lalu.
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Md Mansor berkata, dalam suasana maklumat bergerak pantas dan persepsi mudah terbentuk, kewartawanan berintegriti menjadi pembeza antara laporan berfakta dan penyebaran sensasi.
“Tahun lalu merupakan tempoh mencabar apabila krisis bekalan air memberi kesan langsung kepada kebajikan warga kampus. Dalam masa sama, wujud dinamika aktivisme pelajar dan isu tular di media sosial yang secara tidak langsung mencalar reputasi UMS.
“Ketika itu, media menunjukkan profesionalisme tinggi dengan mendapatkan pengesahan fakta, memberi ruang kepada universiti menjelaskan keadaan sebenar dan melaporkan secara seimbang,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Raman Noordin pada Majlis Apresiasi Sahabat Media UMS 2026 yang meraikan 80 pengamal media, di sini semalam.
Menurut Kasim, UMS bukan sahaja bertanggungjawab menjana ilmu, malah perlu memastikan dapatan penyelidikan dan pandangan pakarnya dapat difahami masyarakat.
“Penemuan akademik perlu disampaikan secara ringkas, logik dan menarik. Di sinilah sinergi universiti dan media penting — universiti menyediakan maklumat sahih dan berautoriti, media pula menterjemah bahasa akademik kepada bahasa masyarakat,” ujarnya.
Turut hadir Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Tiyunin; Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Pendidikan Tinggi, Mohamad Hafizi Rosli dan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMS, Dr Rizal Zamani Idris.
