PENAMPANG: Sebuah bengkel motor dan kedai basikal dua tingkat musnah 85 peratus dalam kebakaran di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 11.17 pagi itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang tiba di lokasi lima minit kemudian.
Komander Operasi melaporkan kebakaran membabitkan bangunan jenis kekal berkeluasan 40×30 kaki persegi dan api marak hampir keseluruhan struktur.
Seramai 34 anggota bersama beberapa jentera termasuk FRT, EMRS dan water tanker dari BBP Penampang, Kota Kinabalu serta Putatan digerakkan ke lokasi.
Pasukan bomba menjalankan pemadaman menggunakan tiga aliran sepanjang 200 kaki dengan lima pancutan air daripada jentera dan pili bomba berhampiran, selain 280 liter buih (foam) bagi mengawal kebakaran.
Api berjaya dikawal pada 12.30 tengah hari dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.45 petang selepas pemeriksaan keselamatan dilakukan.
Tiada mangsa dilaporkan cedera. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Turut membantu di lokasi ialah polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Jabatan Air.
