KOTA KINABALU: Seramai 62 pelajar tahun kedua Program Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaysia Sabah UMS) menyertai lawatan tapak ke Sandakan bagi melihat secara langsung pelaksanaan projek infrastruktur utama negeri ini.
Lawatan itu melibatkan Projek Naik Taraf Jalan Kampung Muhibbah–Kampung Sungai Daling serta projek Lebuhraya Pan Borneo Pakej M32 hingga Moynod di Batu 32.
Program berkenaan diketuai Sr Ts Br Dr Asmawan Mohd Sarman dan Ts Dr Elis Mardzianah Mazlan menerusi kursus KA21102 Kontrak dan Anggaran dengan kerjasama pihak industri.
Asmawan berkata, pendedahan di tapak pembinaan memberi peluang kepada pelajar memahami bagaimana pengurusan kontrak, anggaran kos dan penyelarasan projek dilaksanakan dalam situasi sebenar.
“Pelajar dapat melihat sendiri prosedur keselamatan, kawalan kualiti serta cabaran teknikal di lapangan yang tidak dapat digambarkan sepenuhnya di dalam kuliah,” katanya dalam kenyataan.
Di tapak pertama, pelajar diberikan taklimat keselamatan sebelum meninjau jajaran jalan yang telah dinaik taraf.
Lawatan kemudian diteruskan ke tapak pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, di mana pelajar menerima taklimat projek daripada pihak pengurusan pembinaan bersama wakil agensi teknikal dan perunding. Mereka turut menyaksikan demonstrasi ujian probe dan penerangan pembinaan asas jambatan.
Menurut pihak penganjur, program itu juga membuka ruang jaringan industri apabila pelajar berpeluang berinteraksi dengan alumni Kejuruteraan Awam UMS yang kini berkhidmat dalam sektor pembinaan.
