Syarat menyertai dalam GRS mesti bebas rasuah – Dr Aliakbar

KOTA KINABALU: Parti politik baharu atau lama yang ingin menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mesti dalam kalangan yang bebas rasuah.

Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, GRS mesti menetapkan syarat ketat supaya semua ahli dalam gabungan itu penuh integriti sekali gus tidak terlibat dengan sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa.

“Saya melihat GRS mesti membuktikan keutamaan rakyat adalah lebih penting kerana rasuah boleh menyebabkan seluruh sistem pentadbiran akan rosak dan rakyat yang akan menerima kesan negatif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik berkata pula masa kini, anak muda lebih cakna dengan ketelusan dan integriti sekiranya syarat bebas rasuah diutamakan.

“Rakyat khususnya anak muda dilihat sudah bosan dengan budaya politik lama.

“Jika ada tanda-tanda bersalah mereka akan cuba merisik untuk menyertai parti pemerintah. Budaya politik seumpama ini sudah lapuk,” katanya.

Beliau yakin semua kepimpinan GRS termasuklah daripada PAS akan terus menjamin sistem negeri itu diurus dengan penuh integriti.

Justeru, beliau mencadangkan supaya kepimpinan utama parti politik yang ingin menyertai GRS mesti melalui tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).