KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata walaupun negara merekodkan angka jangkitan kes Covid-19 yang tinggi akibat varian Omicron, namun kadar kematian direkodkan masih rendah susulan pengambilan dos vaksin lengkap dan dos penggalak.
Beliau berkata ini menggambarkan situasi masa ini tidak seteruk seperti tahun lalu di mana ketika itu merekodkan kes melebihi angka 20,000 sehari.
“Berbanding tahun lalu ketika kes Covid-19 tinggi melebihi 20,000 sehari, kadar kematian juga tinggi. Ketika itu, ramai yang masih belum divaksin lengkap ataupun mendapat ‘booster’ (dos penggalak).
“Kini, walaupun kes tinggi semula akibat gelombang Omicron yang sangat mudah dan cepat merebak, kita melihat kes kematian yang lebih rendah.
“Maknanya sekarang ini tidak teruk. Ini sesuatu yang dialami sendiri di hospital-hospital Covid-19 yang sedang merawat pesakit Covid-19 seperti Hospital Sungai Buloh,” katanya menerusi platform TikTok.
Sementara itu, seorang pakar forensik di Hospital Sungai Buloh, Dr Tan Ran Zhi berkata keadaan di kemudahan kesihatan itu ketika ini berbanding tahun lalu jelas berbeza ketara.
Beliau berkata, angka kematian Covid-19 di Hospital Sungai Buloh sewaktu kemuncak jangkitan dicetuskan varian Delta pada Julai hingga Ogos tahun lalu melebihi 20 hingga 30 kes sehari.
Katanya, berbanding masa ini, kadar kematian akibat Covid-19 yang direkodkan lebih kurang tiga hingga empat kes sahaja sehari.
“Tahun lalu kita mempunyai lima kontena yang hampir penuh dengan mayat pesakit Covid-19. Lima kontena ini terdiri daripada tiga kontena kecil iaitu (bersaiz) 20 kaki dan dua kontena besar iaitu 40 kaki.
“Jadi untuk kelima-lima kontena ini penuh. Tetapi waktu pandemik sekarang, kita hanya tinggal dua kontena dan dua kontena ini bersaiz 20 kaki. Kedua-dua kontena ini belum lagi penuh dengan mayat (pesakit) Covid-19.
“Jadi betapa ketaranya perbezaan antara (situasi) pandemik Covid-19 pada tahun lalu dengan situasi pandemik untuk tahun ini,” katanya.