Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi SESB dijangka beroperasi Mac ini

TENOM : Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi (SJHTP) milik Sabah Elecricity Sdn Bhd (SESB) dijangka akan beroperasi semula pada Mac ini setelah Unit 3 yang berkapasiti 22 megawatt (MW) dapat dipulihkan sepenuhnya.

Pengurus Besar Kanan Pengurusan Aset, Ir Idris Mohd Noor berkata, kerja-kerja membaikpulih komponen-komponen Unit 3 telah pun siap sepenuhnya di Pusat Pembaikan REMACO Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan akan mula dipasang di SJHTP.

Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi SESB dijangka beroperasi Mac ini

Katanya, pada masa yang sama, kerja-kerja pembersihan terowong air hidro sedang giat dilakukan oleh anggota kerja SESB dan kontraktor yang dilantik.

“Apabila siap nanti, air daripada Sungai Padas akan dapat disalur masuk melalui terowong dan memutar turbin Unit 3,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, bagi meningkatkan margin simpanan kapasiti bekalan di dalam Grid, SESB juga telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga untuk menyewa beberapa unit generator yang akan dipasang di lokasi-lokasi terpilih.

Katanya antara generator berkenaan adalah 1 unit 10MW yang akan dipasang di Stesen Tawau dan pelbagai unit genset berkapasiti sehingga 30MW yang akan dipasang di Stesen Labuk Sandakan.