Kerajaan akan lakukan yang terbaik tangani isu-isu penting yang menjejaskan rakyat – Christina

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Christina Liew memberi jaminan bahawa kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk terus menangani isu-isu penting yang menjejaskan rakyat dan memenuhi keperluan semua masyarakat dengan sewajarnya.

“Kami mencari kerjasama rakyat dalam menyuarakan kebimbangan yang telus melalui saluran yang betul. Kami mengalu-alukan sebarang maklum balas positif atau cadangan membina untuk penyelesaian muktamad kepada masalah berterusan bagi membawa kepada kehidupan yang lebih baik dan status sosio-ekonomi yang lebih baik untuk mereka yang kurang bernasib baik.

“Saya sudah banyak kali menyatakan perkara ini, dan saya menyatakannya sekali lagi. Sabah berhak mendapat perjanjian yang saksama dari segi menaik taraf infrastruktur jalan raya dan meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan kesihatan bagi menghadapi peningkatan jumlah rakyat Sabah yang mendapatkan rawatan perubatan di hospital kerajaan.

“Dan diharapkan, aspirasi rakyat untuk menaiktaraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebagai lapangan terbang antarabangsa akan berubah menjadi kenyataan tidak lama lagi, sementara menunggu pembinaan lapangan terbang baharu,” kata Christina pada perutusan Tahun Baharunya.

Christina menambah Sabah memerlukan tindakan jangka pendek dan jangka panjang naiktaraf kemudahan lapangan terbang sebagai kedua tersibuk di negara ini.

“Kami tidak boleh berdiam diri dan menunggu lapangan terbang baharu itu menjadi kenyataan tanpa menaiktaraf terminal sekarang.

“Lapangan terbang baharu yang dicadangkan itu mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk merancang dan melaksanakannya untuk menjadi kenyataan. Dalam pada itu, keadaan di KKIA disifatkan tidak memuaskan dan tidak boleh diabaikan. Sesuatu yang konkrit perlu dilakukan sekarang,” katanya.

Pada ketika ini, Christina berharap konsep “Malaysia Madani” yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dapat diterjemahkan kepada manfaat kepada rakyat supaya masalah berterusan seperti klinik usang, jambatan rosak, banjir dan saliran yang lemah dan beberapa masalah lain dapat diselesaikan dengan cepat.

“PM sendiri telah berulang kali menegaskan bahawa rakyat adalah keutamaan, jadi kita tidak boleh membuat mereka menderita akibat kelewatan birokrasi yang tidak perlu,” katanya.

Mengenai peranan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Christina menegaskan usaha mempromosikan pelancongan Sabah, menaik taraf infrastruktur pelancongan, memelihara warisan budaya dan memulihara alam semula jadi akan terus menjadi teras utama Kementerian.

“Bagi negeri ini kekal sebagai destinasi pelancongan yang mampan, saya menyeru semua pihak berkepentingan dalam pelancongan untuk komited memainkan peranan mereka dalam meningkatkan kebolehpasaran dan daya tarikan Sabah dari semua aspek, termasuk pakej pelancongan yang kreatif dan inovatif, serta menawarkan produk pelancongan baharu.

“Walaupun aktiviti pelancongan akan sentiasa meningkatkan ekonomi Sabah, dan menyumbang dengan ketara kepada hasil negeri, kami tidak akan berkompromi dengan langkah keselamatan tempatan di tengah-tengah kebanjiran pelancong antarabangsa dari Korea, China, Jepun, Australia dan beberapa negara Eropah. Kami akan memantau keadaan ini,” katanya.

Sehubungan itu, Liew menasihatkan orang ramai yang mementingkan kesihatan supaya mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi kebangkitan semula Covid 2023.