PENAMPANG : Polis menahan seramai 16 orang dalam serbuan terhadap dua pusat hiburan di sini, malam tadi.
Operasi dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Penampang.
Ketua Polis Daerah Penampang Supt Sammy Newton berkata hasil saringan ujian air kencing ke atas 81 orang pekerja dan pengunjung di dalam premis terkesan dua lelaki positif dadah jenis Methamphetamine.
Katanya dalam serbuan tersebut pihak polis juga telah menahan kedua-dua pengurus pusat hiburan bersama seorang ‘deejay’ berkenaan diatas kesalahan premis beroperasi hiburan awam tanpa lesen dan merampas peralatan muzik milik premis terbabit.
Menurutnya enam wanita asing ditahan kerana menyalahgunaan pasport untuk bekerja di premis dan empat lelaki warga asing gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.
“Individu yang ditahan dan barang rampasan telah dibawa ke IPD Penampang untuk siasat lanjut pihak polis mengikut Sek. 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Sek. 3 Ordinan Hiburan Awam 1958, Sek. 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Sek. 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata sebelum ini, pihak polis juga turut mengadakan operasi yang sama pada 30 Disember lepas di sebuah pusat hiburan dan menahan seorang lelaki merupakan penjaga premis serta turut merampas peralatan muzik milik premis kerana beroperasi tanpa lesen.
Sammy berkata pihak polis akan sentiasa membuat pemantauan dan operasi serta menasihatkan pengusaha premis-premis hiburan di daerah ini supaya sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.