LAWAS (Sarawak) : Status sebagai daerah persinggahan pengunjung akan dijadikan faedah bersama antara Sipitang dan Lawas bagi menjana ekonomi setempat.
Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad Datuk Dr Yusof Yacob berkata, daerah Sipitang dan Lawas merupakan laluan bagi warganegara Brunei termasuk menjadi lokasi untuk mereka bercuti.
Justeru itu, katanya, kelebihan ini akan dimanfaatkan oleh kedua-dua daerah yang terletak bersebelahan.
‘Kita punya persamaan jadi persinggahan. Jadi saya merancang kita guna kekuatan ini faedah bersama antara Sindumin (Sipitang) dan Lawas,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian dan Penangguhan Festival Cabaran Berakit Sungai Long Tengoa di Rumah Kebudayaan Kampung Long Tengoa Tristan, Lawas, semalam.
Majlis disempunakan oleh Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong.
Dr Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin menyifatkan penganjuran Festival Cabaran Berakit ini sesuai sebagai acara yang mampu menarik kehadiran pengunjung ke Lawas.
Pada masa sama, katanya, penganjuran acara itu dapat menjana ekonomi penduduk di kampung terlibat.
” Di Sabah kita panggil Pelancongan Berasaskan Komuniti (COBT) yang mana kita buat acara dan jemput pelancong luar untuk menyertainya.
“Jadi limpahannya ialah kita kena sambut kedatangan pelancong atau pengunjung
Kita sediakan kraftangan, apa-apa juga gerai jualan.
“Kita berharap pengunjung itu berbelanja dan menjana ekonomi setempat..Jadi ini yang kita inginkan dapat memberi manfaat kepada penduduk kampung,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Yusof menyokong cadangan Datuk Henry yang bercadang menganjurkan Festival Cabaran Berakit Sungai Long Tengoa bertaraf antarabangsa.
Menurutnya, ini akan membolehkan peserta dari luar negara menyertai acara itu khususnya dari negara jiran Brunei dan Indonesia.