Jentera Wanita PGRS perlu jadi mata, telinga kerajaan : Redonah

SEMPORNA : Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) diminta peka dengan apa sahaja isu berbangkit dalam kalangan rakyat di peringkat akar umbi.

Ketuanya, Datuk Redonah Bahanda berkata, jentera wanita parti adalah mata dan telinga kepada kerajaan dan sewajar mampu memainkan peranan berkesan dalam menangani masalah rakyat.

Redonah mengetuai perakan konvoi bermotorsikal bersama Wanita PGRS bahagian Senallang di Semporna di sini semalam.

Katanya, tanpa maklumat jelas sukar bagi kerajaan melalui agensi yang berkaitan untuk menyalurkan bantuan sepatutnya kepada rakyat.

“Jentera wanita PGRS sangat penting bukan sahaja bekerja untuk parti dalam meraih sokongan untuk menghadapi pilihan raya tetapi juga menjadi mata dan telinga kepada kerajaan.

“Tanpa kerjasama dan sokongan anda, sukar bagi kerajaan yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk bertindak balas sekali gus menangani isu dan masalah rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Mesyuarat Tahunan Wanita Gagasan Rakyat bahagian Senallang di Semporna semalam.

Redonah bergambar kenangan bersama Wanita PGRS bahagian Senallang selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Bahagian Wanit PGRS Senallang di Semporna.

Redonah merupakan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri berkata, jentera wanita parti mesti bekerja keras dalam memberi penerangan dan penjelasan kepada rakyat di peringkat akar umbi mengenai hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ)

Katanya, program dan gerak kerja SMJ perlu dihayati dan difahami oleh semua pihak bagi membolehkan pelaksanaannya berjalan dengan lancar dan berkesan.

“Tanpa pemahaman rakyat sukar bagi kerajaan untuk melaksanakan sesuatu projek yang pastinya bermatlamat bagi mencapai kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

Redonah mengetuai perakan konvoi bermotorsikal bersama Wanita PGRS bahagian Senallang di Semporna.

“Kita berharap jentera parti yang ada boleh membantu menjayakan hasrat SMJ dengan lebih baik dan mencapai sasaran,” katanya.

Hadir sama Naib Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Aziah Atoh, Ketua Wanita Gagasan Rakyat Senallang Hainul Asikin Yahya serta perwakilan Wanita Gagasan Rakyat Senallang dan ahli jawatankuasa bahagian PGRS Senallang.