54 anak asnaf cemerlang dalam akademik diraikan MAIWP

LABUAN : Seramai 54 pelajar diraikan dalam satu Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2023 diadakan baru baru ini.

Mereka terdiri daripada anak-anak asnaf menerima bantuan zakat pendidikan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengurus MAIWP Labuan, Md. Fadzli Md. Saad berkata, kesemua pelajar menerima anugerah mengikut kategori peperiksaan termasuk Ujian Penilaian Kelas (KAFA), UPSRA, SPM, STPM, Diploma serta Ijazah Institut Pengajian Tinggi (IPTA).

“Setiap pelajar menerima wang tunai serta sijil penghargaan bersama  wang tunai secara keseluruhannya berjumlah RM13,900 disediakan MAIWP.

“Pada majlis ini, turut diadakan penyampaian cek cura peruntukan Bantuan Am Persekolahan tahun 2024 berjumlah RM5,129,700.00,” katanya.

Md. Fadzli berkata, Perbelanjaan Bantuan Am Pelajaran dan Persediaan Institut Pengajian Tinggi (IPTA) bagi bulan Januari hingga Ogos sebanyak RM1,227,500.

“Dalam masa sama, Agihan Insentif Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime kepada 38 pelajar cemerlang SPM dan STPM 2023 berjumlah RM27,000,” jelas Md. Fadzli.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Abidin Marjan.