SMD catat 50,000 penyertaan dicadang dimasukkan dalam kalender pelancongan Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU : Program ‘Sabah Motor Day’ (SMD) berpotensi dicadangkan dimasukkan dalam kalendar pelancongan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, SMD memasuki edisi ketujuh pada tahun ini menerima penyertaan peserta sehingga 50,000 peminat dua roda termasuk dari Negara Brunei Darussalam dan Semenanjung Malaysia.

Katanya, beliau memberi jaminan untuk mencadangkan agar dimasukkan dalam kalender pelancongan pada masa akan datang.

“Kita yakin program ini menggalakkan belia terlibat dalam aktiviti berfaedah untuk menjauhkan mereka daripada aktiviti lumba haram.

“Selain meningkatkan lagi kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah sekali gus mempromosikan keselamatan penunggang motosikal kepada mereka,” katanya di sini hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan negeri menekankan kepada pembangunan belia, dan selaras dengan Dasar Belia Sabah, sejumlah RM16.9 juta telah diperuntukkan untuk melaksanakan Program Pembangunan Kepimpinan Belia Sabah.

“Kerajaan juga akan terus menyediakan sumber bagi pelaksanaan pelbagai program untuk belia kita, termasuk latihan kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan.

“Skim pembangunan belia seperti Skim Usahawan Belia Sabah atau SYABAS akan terus menyokong usahawan muda kita dalam memulakan dan memperkukuhkan inisiatif keusahawanan mereka,” jelas Hajiji.