KOTA KINABALU : Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menyelesaikan baki tuntutan masih tertangguh akan dapat diselesaikan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).
Pengerusi Majlis Perwakilan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, setakat ini 11 tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjaya diselesaikan manakala tujuh daripadanya dipenuhi dalam tempoh dua tahun di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, pencapaian ini termasuk penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan garis panduan penyerahan tanah di Sabah dan Sarawak.
“Di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tiga tuntutan utama juga diselesaikan iaitu penyerahan pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Sabah.
“Penyerahan kuasa kawal selia Gas petroleum cecair (LPG) kepada Sarawak pula dilakukan di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mustapha merupakan Ahli Parlimen Sepanggar berkata, untuk memastikan semua tuntutan Sabah dan Sarawak melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dilunaskan sebaik mungkin.
“Perfana Menteri sentiasa memastikan setiap langkah diambil adalah dengan persetujuan rakan-rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
“Ini adalah contoh terbaik bagaimana kepimpinan inklusif boleh membawa kemajuan positif kepada kesemua rakan kongsi yang membentuk Negara Malaysia,” jelas Mustapha.