KOTA KINABALU: Pembentukan Malaysia membawa banyak nikmat serta manfaat kepada pelbagai lapisan rakyak di seluruh negara dan negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Sabah sangat menghargai keprihatinan Kerajaan Perpaduan kepada rakyat di negeri ini.
Katanya, perjalanan membina negara ini masih panjang, berliku dan pastinya akan berhadapan dengan pelbagai cabaran, namun pasti berjaya diharungi dengan adanya kesatuan, kebersamaan dan perpaduan atas kepentingan tanah air.
“Kita mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menghayati tema sambutan Hari Malaysia tahun ini iaitu “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka”, cerminan yang amat penting bagi kemakmuran dan kemajuan negara.
“Malaysia Madani” yang disokong oleh enam nilai teras utama mencerminkan visi kita untuk membentuk masyarakat yang berdaya tahan, harmoni dan progresif. “Jiwa Merdeka menggambarkan kebebasan rakyat Malaysia daripada elemen negatif,
menekankan semangat patriotisme dan cinta kepada negara,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024.
Hajiji berkata, selain itu ia juga melibatkan aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi dalam usaha untuk membina sebuah kesatuan rakyat yang kukuh dan harmoni.
“Nilai nilai Malaysia Madani seiring dengan aspirasi dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menjadi panduan kerajaan dalam memacu pembangunan negeri ini.
“Melalui dasar ini, kerajaan berusaha memperkukuhkan ekonomi, mempertingkatkan kesejahteraan rakyak dan memperkasa pembangunan yang leslari,” jelas Hajiji.
Menurutnya, gabungan nilai-nilai Malaysia Madani dan Sabah Maju Jaya ini adalah manifestasi kesungguhan kita untuk melihat Sabah dan Malaysia terus maju dalam suasana yang aman dan makmur.
“Bagi kita di Sabah, semangat perpaduan dan saling menghormati antara kaum akan terus dipertahankan dalam usaha bergerak maju ke hadapan.
“Ini kerana kesatuan dan perpaduan antara rakyat adalah kunci kepada kejayaan Malaysia amnya dan Sabah khususnya.
“Marilah kita bersama-sama memperkukuhkan semangat perpaduan dan terus bekerja keras demi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang makmur, berdaulat, dan dihormati di peringkat antarabangsa”, tegasnya.
Beliau berkata, sambutan Hari Malaysia amat bermakna kepada seluruh rakyat Malaysia bersama-sama mengingati dan merayakan detik bersejarah tanah air yang berlaku 61 lahun yang lalu.
Menurutnya, pada ketika itulah termeterainya perjanjian yang menyatukan dua wilayah Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu untuk membetuk sebuah negara bangsa yang berdaulat dan merdeka di bawah satu bendera, satu negara.
“Semoga sambutan Hari Malaysia pada tahun ini memberi inspirasi dan kekuatan baharu kepada kita semua dalam meneruskan perjuangan untuk memastikan masa depan negara yang lebih cemerlang”, katanya.