KOTA KINABALU : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).
Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, ketika ini SPR sudah melakukan segala persiapan untuk memastikan proses pilihan raya Sabah berjalan lancar.
Katanya, ketika ini persiapan SPR lebih ke arah pelaksanaan Pilihan Raya Negeri Sabah dijangka akan tamat tempohnya pada November ini.
“Bagaimanapun SPR pada dasarnya sudah pun bersiap sedia untuk menjalankan proses PRN Sabah ini.
“Malah, semua jentera di peringkat akar umbi bersedia untuk melaksanakan pilihan rata pada bila-bila masa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa di Istana Seri Kinabalu, hari ini.
Ramlan berkata, Yang Di-Pertua Negeri menasihati agar SPR dapat memastikan proses pilihan raya dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Ini sekali gus memastikan keamanan serta kestabilan politik di Sabah dapat dikekalkan.
“Kunjungan hari ini juga bertujuan menzahirkan ucapan tahniah kepada Musa atas pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu,” jelas Ramlan.
Hadir sama, Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak serta Pengarah Pejabat Pilihan Raya Sabah Rohiman Rahia.