SANDAKAN : Remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika keluar menangkap udang, Sabtu lalu kini ditemukan lemas di pesisir pantai Tanjung Pisau, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, mangsa berusia 14 tahun itu, ditemukan orang awam kira-kira 20 kilometer dari lokasinya dilaporkan hilang.
Katanya, pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai penemuan mayat mangsa terbabit.
“Pasukan bomba kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mengambil serta mengangkat mayat mangsa ditemukan tersebut.
“Sebaik tiba, pasukan bomba segera mengangkat mayat terbabit dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Nidzam berkata, selepas memastikan keadaan di lokasi dalam keadaan selamat, operasi kemudian ditamatkan pada jam 10.50 pagi tadi.