TUARAN : Kerajaan negeri melaksanakan satu lagi program baharu untuk membantu meringankan beban rakyat, pada tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, inisiatif baharu ini adalah tambahan kepada beberapa program sudah dilaksanakan termasuk Program Sentuhan Kasih Rakyat atau SYUKUR yang dilancarkan hari ini.

“Katanya, sebagai kerajaan prihatin serta peduli rakyat, terutama dengan peningkatan kos sara hidup masa kini mereka akan memikirkan sesuatu untuk membantu rakyat.
“Program ini dijangka akan diumumkan pada tahun ini sekiranya semua perancangan berjalan lancar dan teratur selain mengikut kemampuan kewangan negeri.
“Saya bersama jemaah menteri dalam Kabinet negeri sentiasa memikirkan usaha dan inisiatif membantu rakyat terutama mereka yang miskin dan miskin tegar. Apabila semua perbincangan sudah selesai, kita akan umum kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Pelancaran SYUKUR 2025 di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, di sini hari ini.
Hajiji berkata, program SYUKUR bertujuan meringankan beban kewangan rakyat dan memastikan kesejahteraan kehidupan mereka terjaga.

“Program ini menyediakan bantuan tunai berjumlah RM300 setiap bulan kepada penerima yang layak sehingga 31 Disember 2025 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM358.5 juta dan akan memberi manfaat kepada 100,000 orang penerima.
“Bermula pada bulan Februari 2025, seramai 72,058 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih setakat 31 Disember 2024 telah menerima manfaat ini.
“Daripada jumlah itu, seramai 52,201 penerima telah menerima bayaran terus ke akaun bank bermula 17 Februari lalu manakala 19,857 lagi penerima yang tidak mempunyai akaun di bayar secara berperingkat,” jelas Hajiji.
Menurutnya, pembayaran sama ada menerusi bantuan secara tunai atau pembukaan akaun khas bagi memudahkan pembayaran fasa pertama dibuat sehingga bulan Mac ini.
“Kerajaan negeri juga akan melaksanakan Fasa Kedua program ini pada Mei 2025, yang akan memperluaskan lagi manfaat kepada lebih ramai penerima.
“Ini termasuk mereka yangberada dalam senarai eKasih serta golongan miskin dan miskin tegar yang tercicir daripada senarai sebelum ini,” kata Hajiji.
Beliau berharap dengan pelaksanaan program ini, kehidupan mereka yang terjejas dapat dipertingkatkan serta mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih sejahtera dan inklusif.
“Saya mahu usaha berterusan dilaksanakan di lapangan dalam memastikan mereka yang tercicir dan layak mendapatkan bantuan ini tapi tidak berdaftar dalam Pangkalan Data Negeri Sabah atau PADANS.
“Mereka boleh mengemukakan aduan kepada Ketua Kampung atau Pegawai MySMJ Profiler yang telah ditempatkan di semua pejabat daerah di negeri ini.
“Saya berharap agar SYUKUR akan menjadi sebuah inisiatif yang menjadi satu gerakan berterusan yang membawa impak positif kepada masyarakat selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sementara itu, amaun pembayaran SYUKUR akan dibayar secara berfasa dengan setiap fasa adalah di bayar secara “lump-sum” bagi tempoh tiga (3) bulan iaitu sebanyak RM900 akan dikreditkan ke akaun kepada mereka yang mempunyai akaun dan kepada penerima bantuan secara tunai.
Bagi pembayaran fasa pertama (Januari sehingga Mac 2025) diagihkan bermula Februari, manakala fasa kedua (April sehingga Jun 2025).
Ia mula diagihkan bermula April; fasa ketiga (Julai sehingga September 2025) diagihkan bermula September 2025 dan fasa keempat (Oktober sehingga Disember 2025) diagihkan pada Oktober 2025.
Bagi tujuan semakan penerima dan pembayaran boleh dilakukan melalui Laman web Sistem PADANS https://padans.sabah.gov.my/; Laman web http://sukur.sabah.gov.my/; YONO Superapp; dan Notifikasi pembayaran (SMS).
Semakan penerima SYUKUR boleh mula di akses pada hari ini, 19 Februari 2025.