LABUAN : Empat sekeluarga turun ke laut untuk memancing berdepan detik cemas selepas bot dinaiki mereka karam dalam kejadian di perairan Lubok Temiang Simpang Delima Blok Pulau, di semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Abd Rahman Ali berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 9 malam itu, semua mangsa memakai jaket keselamatan dikatakan terpaksa berpaut pada serpihan bot karam sebelum berjaya diselamatkan pihak berkuasa.
Katanya, semua mangsa berusia lingkungan 45 hingga 75 tahun berjaya diselamatkan pasukan bomba sebelum tiga daripada mereka dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Pasukan Bomba menerima panggilan berhubung kejadian ini pada jam 9.30 malam.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Layangan dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh lapan kilometer,” katanya di sini semalam.
Abd Rahman berkata, mengikut maklumat, empat sekeluarga itu keluar memancing pada jam 4.00 petang sebelum bot dinaiki karam.
“Difahamkan, salah seorang mangsa sempat menghantar lokasi kejadian kepada penduduk kampung untuk meminta bantuan.
“Pasukan bomba yang menerima maklumat berkenaan segera ke lokasi dan menemui bot karam namun keempat-empat mangsa hilang,” jelas Abd Rahman.
Menurutnya, operasi pencarian segera dilakukan sebelum menemui semua mangsa dalam keadaan selamat.
“Semua mangsa kemudian dibawa ke daratan dan seorang lelaki bersama dua wanita dihantar ke hospital dengan menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Abd Rahman berkata, operasi kemudian ditamatkan pada jam 11.07 malam selepas memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain.