Solat sunat Tarawih dibenarkan di masjid dan surau di seluruh negara

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad hari ini memberi jaminan solat sunat Tarawih dibenarkan dilaksanakan di masjid dan surau di seluruh negara pada bulan Ramadan ini.

Idris berkata pelaksanaan solat Tarawih berkenaan akan dilaksanakan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) lebih longgar yang akan diumumkan kelak.

Menurutnya setakat ini SOP itu masih belum diputuskan, namun operasi masjid akan berjalan seperti biasa meskipun ketika ini situasi COVID-19 dalam negara masih mencatatkan angka melepasi 20,000.

“SOP nanti akan agak longgar, bergantung kepada keadaan semasa. Kita akan ikut nasihat daripada KKM (Kementerian Kesihatan ) dan buat panduan Tarawih dari situ,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sumbangan Tablet kepada Pelajar dan Bantuan WiFi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Surau Jumaat At-Taqwa, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kg Baru Air Panas, di sini.

Menurutnya SOP dikeluarkan KKM itu akan dibincangkan bersama pihak berkuasa agama Islam negeri untuk tindakan selanjutnya mengikut negeri masing-masing.

“Insya Allah imarah masjid tahun ini akan berjalan. Kita doa kepada Allah SWT supaya COVID-19 (penularan) tidak serius. Kalau semakin teruk, kita akan ikut nasihat KKM dan bila sudah ada SOP baharu, kita akan jaga elok-elok,” katanya.

— BERNAMA