Tempoh sehingga 31 Mac untuk dapatkan dos penggalak adalah muktamad – Khairy

SERDANG: Tempoh sehingga 31 Mac ini untuk penerima vaksin primer Sinovac mendapatkan suntikan dos penggalak COVID-19 bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap adalah muktamad, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata selepas tarikh tersebut, status vaksinasi mereka akan bertukar menjadi tidak lengkap, sekiranya mereka masih belum mendapat dos penggalak COVID-19.

“Bermula 1 April, bagi penerima dos primer Sinovac tidak kira usia untuk dewasa berusia lebih 18 tahun, warga emas tetapi tidak menerima dos penggalak, status vaksinasi akan bertukar daripada kuning kepada putih. Itu muktamad,” katanya dalam sidang media perkembangan situasi COVID-19 di sini hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini memutuskan penerima vaksin berusia 60 tahun ke atas dan individu berusia 18 tahun ke atas yang menerima vaksin jenis Sinovac, perlu mendapatkan dos penggalak sebelum 28 Feb bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap.

Bagaimanapun Khairy dalam sidang media pada 24 Feb lepas mengumumkan tempoh bagi mendapatkan dos penggalak untuk golongan tersebut dilanjutkan sehingga 31 Mac ini.

Khairy berkata sehingga kini, terdapat 35,000 warga emas yang merupakan penerima dos primer Sinovac, masih belum menerima dos penggalak.

“Untuk warga emas, dos penggalak terbukti mencegah kesan buruk COVID-19. Oleh itu, adalah penting untuk golongan mendapatkan dos penggalak ini.

“Memang gelombang Omicron dilihat tidak seganas Delta, tetapi bagi warga emas terutama komorbid ia bukanlah satu penyakit yang ringan kerana penyakit ini boleh bawa kematian,” katanya.

Khairy berkata penerima vaksin primer Sinovac terutama warga emas, kini boleh mendapatkan suntikan dos penggalak secara jumpa terus di pusat pemberian vaksin.

Dalam pada itu, Khairy berkata beliau akan bertemu ibu bapa kepada remaja lelaki berusia 13 tahun, yang didakwa meninggal dunia selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 di Klinik Kesihatan Presint 18 di sini pada 30 Dis tahun lepas.

Katanya pertemuan dengan ibu bapa mendiang akan diadakan di pejabatnya di KKM di sini esok.

“Adalah lebih baik jumpa ibu bapa mendiang dahulu sebelum apa-apa perkara diumumkan… ini kerana butiran kesihatan dan kematian adalah peribadi,” katanya.

Pada 26 Feb lepas, portal media melaporkan ibu bapa kepada remaja yang meninggal dunia beberapa minggu selepas divaksin, menyeru pihak berkaitan menjelaskan punca kematian anak tunggal mereka.

Remaja berkenaan dikatakan tiba-tiba rebah di dalam lif blok perumahannya pada 16 Jan untuk menghadiri kelas karate, sebelum dikejarkan ke Hospital Kajang dan disahkan meninggal dunia.

— BERNAMA