KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menyifatkan tindakan beberapa bekas pemimpin meninggalkan parti sebagai sebahagian daripada proses biasa dalam politik.
Beliau berkata, setiap organisasi politik akan melalui fasa ujian yang membezakan antara mereka yang benar-benar komited dengan perjuangan dan mereka yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi.
Menurutnya, apa yang berlaku ketika ini boleh dianggap sebagai proses pengukuhan dalaman yang membolehkan parti terus bergerak bersama ahli-ahli yang setia kepada perjuangan.
“Warisan pernah berdepan cabaran lebih besar sebelum ini dan tetap mampu berdiri teguh kerana kekuatan parti datang daripada akar umbi serta sokongan rakyat Sabah,” katanya.
Shafie menegaskan Warisan akan terus mara ke hadapan dengan memberi fokus kepada agenda memperjuangkan hak Sabah, pembangunan ekonomi negeri dan masa depan rakyat.
