Sistem Vendor diwujudkan kepada penduduk setinggan tangani kes penyambungan haram – Shahelmey

KOTA KINABALU : Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) kini memperkenalkan sistem vendor untuk membekalkan air kepada penduduk setinggan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri Negeri baru-baru ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya berkata, Inisiatif ini bagi membolehkan kawalan serta pemantauan terhadap penggunaan air penduduk sekali gus menstabilkan bekalan air di kawasan Kota Kinabalu.

Katanya, ini termasuklah melakukan penambahan kapasiti bekalan air daripada Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 2 Fasa 2 sebanyak 15-20 MLD sehari serta akan memberi impak kepada bekalan air di kawasan utara Kota Kinabalu.

“LRA apabila disiapkan nanti berkapasiti 80 MLD dijangka mampu membekalkan sepenuhnya kapasiti di kawasan Kota Kinabalu apabila jajaran paip di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo Pakej Kerja 8 disiapkan awal tahun hadapan.

“Kementerian bersama-sama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air serta Kementerian Ekonomi sedang dalam proses akhir memuktamadkan kaedah pelaksanaan projek untuk sistem bekalan air negeri Sabah di bawah pakej peruntukan RM300 juta dijangka dimulakan pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Shahelmey merupakan Timbalan Ketua Menteri III berkata, skop projek ini mengurangkan gangguan bekalan, menstabilkan tekanan air, menyelesaikan masalah sambungan tidak mengikut peraturan, menaiktaraf dan membaiki aset-aset pam serta penambahan kapasiti loji rawatan air di daerah Kota Kinabalu.

“Skop projek ini melibatkan daerah Papar, Keningau, Lahad Datu dan Tawau bagi menstabilkan sepenuhnya bekalan air di kawasan Kota Kinabalu.

“Namun, gangguan bekalan air tidak dapat dielakkan disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan di Loji Rawatan Air (LRA) dan juga sistem agihan sama ada berjadual atau kecemasan,” jelas Shahelmey.

Sementara itu beliau menjelaskan JANS kini berhadapan dengan gangguan bekalan air akibat penyambungan paip secara haram penduduk setinggan sehingga mengakibatkan gangguan bekalan air ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta kawasan sekitarnya.

“Walau bagaimanapun, masalah penyambungan paip ini sentiasa akan dipantu sekali gus ditangani segera bagi memastikan ia tidak berlaku sehingga diambil tindakan oleh pihak penguatkuasaan,” tambah Shahelmey.