Lelaki maut terbabit kemalangan di Jalan Tawau-Semporna

TAWAU: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal diboncengnya bersama remaja terlibat dalam kemalangan di Kilometer 27 Jalan Tawau – Semporna, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati mangsa berumur 70 tahun merupakan pembonceng motosikal bersama seorang pelajar lelaki berumur 15 tahun dari arah Inderasabah menuju ke Kampung Blok 31, Jalan Apas, Tawau.

Katanya, pemandu kereta jenis Perodua Alza bersama seorang penumpang dari arah Lapangan Terbang Tawau menuju ke Bandar Tawau dalam kejadian 3.55 petang semalam.

“Ketika tiba di tempat kejadian, penunggang motosikal tiba-tiba mengubah laluan ke lorong kanan lalu masuk ke laluan kereta Perodua Alza berkenaan.

“Berikutan jarak terlalu dekat pemandu kereta Alza terbabit tidak sempat mengelak lalu terlanggar di bahagian belakang tayar sebelah kiri motosikal terbabit. Akibat pelanggaran tersebut kereta Alza terbabit berpusing sehingga terseret ke bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Jasmin berkata, pemandu bersama penumpang kereta Alza tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian kepala serta pemboncengnya putus kaki kanan kemudiannya meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pihak polis masih meneruskan siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen. 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” jelas Jasmin.