PENAMPANG : Dua lelaki warga asing ditahan selepas dipercayai memiliki dadah jenis syabu seberat 05.32 gram bernilai RM800, di sebuah bangunan terbengkalai di Putatan di sini pada 4 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, SUP Sammy Newton berkata, kedua-dua suspek berusia 30 dan 36 tahun ditahan dalam satu operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Penampang.
Katanya, hasil pemeriksaan ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek ini adalah positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
“Kedua-dua suspek ini akan disiasat dibawah Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15 (1) (a), Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kita mengesa agar orang awam dapat menyalurkan maklumat bagi memastikan kegiatan pengedaran dadah ini dapat dibendung di peringkat awal sekali gus dapat menyelesaikan masalah ini di masa depan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sammy berkata, pihaknya menyarankan masyarakat supaya tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah serta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa agar kegiatan membenteras dadah dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.