Tindakan MOTAC gagalkan rancangan Kerajaan Negeri lancar Sabah-Malaysia My Second Home

KOTA KINABALU: Gangguan mendadak yang berpunca daripada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Persekutuan (Motac) telah menggagalkan rancangan Kerajaan Negeri Sabah untuk melancarkan secara rasmi program Sabah-Malaysia My Second Home (Sabah-MM2H) menjelang 1 Jun, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) telah bekerjasama dengan jabatan dan agensi berkaitan seperti Jabatan Imigresen, Polis dan Pejabat Dalam Negeri bagi menyelaraskan semua aliran kerja bagi memastikan permohonan penyertaan di Program Sabah-MM2H boleh diproses selancar mungkin.

“Pihak kami semua sudah bersedia untuk melancarkan program itu pada 1 Jun, dan ramai yang sebenarnya tidak sabar untuk menghantar permohonan mereka. Malah, kami telah pun memuktamadkan kriteria untuk program itu tiga bulan lalu.

“Kami terkejut apabila Motac menggantung operasi semua ejen berlesen dalam memproses permohonan baharu, dengan serta merta.

“Langkah yang tidak baik ini telah menjejaskan kemajuan kami dan pelancaran program yang dimaksudkan itu seperti yang dirancang,” kata Liew, yang tidak berpuas hati dengan kejadian yang tidak dijangka ini, dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Liew, Motac mengeluarkan pekeliling bertarikh 27 Mei, 2024 kepada semua ejen berlesen yang mengendalikan permohonan MM2H, termasuk di Sabah dan Sarawak, untuk menghentikan operasi mereka.

Menjelaskan lebih lanjut, Liew berkata: “Memandangkan perkara ini, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) menulis surat kepada Motac pada 28 Mei untuk menjelaskan segala persiapan kami untuk merasmikan program Sabah-MM2H selewat-lewatnya pada 1 Jun.

“Pada masa yang sama, kami meminta semakan semula keputusan Motac untuk menggantung operasi ejen berlesen, terutamanya ejen Sabah, yang sebahagian daripada mereka masih memegang lesen sah yang diluluskan dan dikeluarkan oleh Motac.

“Jika gagal, Kementerian saya akan bertindak sewajarnya untuk melantik dan memberi kuasa kepada wakil negeri untuk memproses permohonan bakal pemohon untuk Program Sabah-MM2H,” tegasnya

Pada 31 Mei, Motac menjawab dengan cara pekeliling kepada KePKAS yang menyatakan bahawa tiada sesiapa dibenarkan memproses permohonan baharu untuk Program Sabah-MM2H sehingga dimaklumkan selanjutnya oleh Motac.