KOTA KINABALU: Kumpulan Sawit Kinabalu (Sawit Kinabalu) akan menjadi perintis Taman Teknologi Hijau (Green Technology Park (GTP)) di Sabah, sekaligus menyokong usaha kerajaan negeri ke arah mencapai matlamat pembangunan mampan.
Bagi merealisasikan matlamat itu, Sawit Kinabalu melalui anak syarikatnya, Sawit Palm Oil Industrial Cluster Sdn. Bhd. (SPOIC) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat Nextgreen Global Berhad (NGGB) bagi penubuhan GTP.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor merupakan Pengerusi Sawit Kinabalu menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut di ibu pejabat baharu Sawit Kinabalu di Blok B, Menara Kinabalu di sini hari ini.
Sawit Kinabalu diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Victor Ationg dan NGGB diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Lim Thiam Huat, serta Datin Stella Ambrose (Sawit Kinabalu) dan Datuk Mohd Yusof Din (NGGB) selaku saksi kedua-dua entiti itu.
Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak akan menerokai dan melaksanakan aktiviti-aktiviti utama GTP seperti mewujudkan Pusat Pengumpulan dan Pemprosesan (CPC), Kilang Pulpa, Loji Rawatan Air Mentah dan Dandang Stim (Steam Boiler) di tanah seluas 400 ekar milik SPOIC di Sandakan.
Konsep perniagaan hijau GTP memberi penekanan kepada tenaga boleh diperbaharui, pemulihan, dan penghapusan sisa yang merupakan asas bagi ekonomi hijau yang boleh mengurangkan risiko alam sekitar dan seterusnya memacu Sawit Kinabalu ke arah pembangunan mampan.
Terdahulu, Hajiji merasmikan ibu pejabat baharu Sawit Kinabalu dan mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu.
Beliau kemudiannya menyaksikan pembayaran zakat perniagaan Sawit Kinabalu bagi tahun 2023 berjumlah RM 800,000 daripada Victor kepada Ahli Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Mohd Dandan @ Ame Alidin.
Menurut Victor, Kumpulan Sawit Kinabalu komited untuk terus menunaikan kewajiban membayar zakat perniagaan bagi membantu pertumbuhan ekonomi dan pemerkasaan masyarakat, sesuai dengan keuntungan yang dicatatkan oleh syarikat itu, berikutan prestasi harga minyak CPO yang dijangka meningkat dalam masa akan datang.