“Simpati dengan Peter Anthony berkaitan kes mahkamahnya”- Shafie

KOTA KINABALU: Keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony menubuhkan parti tempatan pelbagai kaum dijangka memecahbelahkan lagi perpaduan rakyat di negeri ini.

Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ini merupakan antara faktor mendorong Peter Anthony mengumumkan keluar dari Parti Warisan Sabah (WARISAN) malam tadi.

Katanya, tindakan Peter Anthony keluar dari WARISAN juga bukan sesuatu yang mengejutkan sekali gus sudah diduga sejak beberapa bulan yang lalu.

“Saya bersimpati kerana beliau sudah beberapa kali menyatakan hasratnya berikutan kes mahkamah yang dihadapinya.

“Keputusan Peter (Anthony) untuk menubuhkan sebuah lagi parti pelbagai kaum yang bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya akan memecahbelahkan lagi rakyat Sabah dan masyarakat di pedalaman.

“Tindakan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim, juga mendukacitakan kerana terpengaruh dengan Peter (Anthony) yang menyebabkannya mengambil keputusan tergesa-gesa,” katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, Mohd Shafie menyifatkan hasrat Peter Anthony menubuhkan parti baharu tempatan pelbagai kaum bercanggah dengan tindakannya ingin menyertai kerajaan negeri yang terdiri daripada parti nasional.

“Dalam sidang media, Peter (Anthony) berkata sesebuah negeri patut ditadbir oleh parti politik setempat menurut negeri masing-masing.

“Bagaimanapun ini bercanggah dengan tindakannya untuk menyertai GRS yang terdiri daripada parti nasional dan parti tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie turut menafikan kenyataan Peter Anthony yang menyatakan parti WARISAN telah jauh tersasar dari perjuangan asal apabila melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia.

“Sejak ditubuhkan, WARISAN lantang bersuara memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 sehinggalah pindaan Perlembagaan dilaksanakan baru-baru ini untuk mengembalikan status sebagai rakan sekutu Semenanjung.

“Alasan untuk keluar parti kerana WARISAN tersasar dari perjuangan asal hanya kerana melebarkan sayap ke Semenanjung, adalah tidak benar.

“Ini kerana pada mesyuarat Majlis Tertinggi sebelum ini dan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan (2020) pada 12 Disember lalu, seluruh ahli majlis tertinggi dan ahli parti menyokong penuh langkah itu pada perhimpunan itu.

“Keputusan untuk melebarkan WARISAN ke Semenanjung adalah satu langkah untuk menawarkan satu lagi pilihan kepada semua pengundi di Malaysia,” katanya.

Semalam, media melaporkan Anthony mengumumkan keluar dari parti WARISAN bagi menubuhkan sebuah parti baharu tempatan.