PETALING JAYA: Veteran DAP Lim Kit Siang berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu memutuskan sama ada akan meneruskan perjanjian persefahaman (MoU) dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sekiranya beliau tidak menunaikan janjinya.
Lim berkata, salah satu objektif MoU itu adalah untuk menghentikan “lompat katak politik” yang “merosakkan nilai perjuangan politik kepada nilai yang ditawarkan oleh pembida tertinggi”.
“Sekiranya Ismail gagal mematuhi perjanjiannya dalam MoU CSR, Pakatan Harapan perlu memutuskan sama ada untuk meneruskan MoU CSR itu,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam laporan fMT hari ini.
“Salah satu syarat MoU adalah untuk menggubal undang-undang untuk mengharamkan ‘katak politik’ di negara ini menjelang Mesyuarat Pertama Sesi Kelima Parlimen pada awal 2022,” katanya.
Katanya, sekiranya undang-undang sebegitu tidak diluluskan, Ismail mengingkari komitmennya di bawah MoU CSR dan kedudukannya akan berakhir.
Lim merujuk kepada peletakan jawatan Peter Anthony daripada Warisan semalam untuk membentuk sebuah parti yang mesra kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Katanya, sejak menandatangani MoU, terdapat “perbezaan kritikal” yang muncul antara PH dan kerajaan.
Ini termasuk kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, perang menentang rasuah dan salah guna kuasa, menghormati hak asasi manusia dan kebebasan bersuara.