Mewujudkan peluang pekerjaan antara pendekatan kepada pengundi 18

KOTA BELUD: Pergerakan Pemuda UMNO Kota Belud kini berusaha mendekati pengundi 18 tahun bagi bersama-sama berupaya menempuh cabaran serta gelombang mendatang di masa depan.

Naib Ketuanya, Azuwan Marjan Norjan berkata, undi 18 ini sudah tentu akan mengubah senario politik negara dengan pelbagai langkah perlu disusun bagi mendekati golongan ini.

Katanya, secara tidak langsung pindaan umur kelayakan pengundi 18 tahun secara automatik diwartakan sudah tentu Pemuda UMNO akan fokus terhadap keperluan mereka.

“Pergerakan Pemuda perlu terus menyusuri serta mendalami idealisme anak-anak muda ini agar perjuangan parti terus mekar sekali gus berusaha melihat keperluan kehidupan mereka di masa depan.

“Kita perlu mendalami idealisme anak muda ini. Ada diantaranya pro kepada kerajaan manakala sebahagiannya pro kepada pembangkang…Ada pulak yang mengambil pendekatan dihaluan tengah.

“Jesteru kita perlu memahami minat mereka ini termasuk dalam program politik yang kita akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Azuwan berkata, UMNO khususnya Pemuda serta Puteri perlu mencari pendekatan orang muda melalui setiap program yang dilaksanakan agar tidak hanya tertumpu kepada bidang sukan semata-mata.

“Program lain yang difikirkan bersesuaian adalah mewujudkan seberapa banyak ruang pekerjaan kepada golong muda ini agar mereka mempunyai pendapatan serta pekerjaan untuk menyara masa depan mereka,” katanya.