Monsun: APM Tawau, Sandakan dan Lahad Datu siap siaga hadapi banjir luar jangka

TAWAU: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Tawau siap siaga dari segi logistik dan anggota sekiranya berlaku banjir luar jangka berikutan luruan monsun dan cuaca tidak menentu.

Pegawai APM Tawau Kapten Hussain Mohd Nor berkata sebanyak 33 anggota serta beberapa logistik menyelamat termasuk tujuh bot, dua ambulans serta dua lori lima tan bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa.

“Kita juga mengenalpasti empat kawasan tumpuan berlaku banjir iaitu Merotai, Kampung Saddani,  Kampung Rawa Rawa serta sepanjang pantai Batu 4 sehingga Batu Payung,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata Pengerusi Pengurusan Bencana Negeri Sabah Datuk Safar Untong mengarahkan semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Sabah diaktifkan sejak dua minggu lepas bagi berdepan sebarang bencana.

Pada Khamis lepas (23 Dis) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan luruan monsun pada 27 hingga 30 Dis, antara lain menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan, selain hujan berterusan antaranya di kawasan utara dan pantai timur Sabah.

Dalam pada itu, Pengerusi PKOB Tawau Joseph Pang menasihatkan penduduk Tawau yang tinggal di kawasan tanah rendah serta sering dilanda banjir kilat agar berwaspada.

“Simpan dokumen penting di satu tempat dan senang dibawa keluar apabila berlaku banjir, juga segera keluar rumah dan pergi ke tempat tinggi dan selamat apabila air naik,” katanya.

– BERNAMA