KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri berpendirian tegas memerangi rasuah di semua peringkat agar tidak menjejaskan usaha menyelesaikan masalah rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan Kerajaan Negeri tidak berkompromi dalam perkara ini yang beliau sifatkan satu penyakit serius kalau tidak ditangani akan menjadi halangan dalam menyelesaikan masalah dihadapi rakyat seperti bekalan air.
“Kita tidak berkompromi sama sekali tentang rasuah yang berlaku dimana juga yang sekarang dalam pertimbangan mahkamah dan dijadikan pengajaran.
“Ini bukan saja yang berlaku di Jabatan Bekalan Air Negeri Sabah (JANS) tetapi kepada semua penjawat awam dan kepimpinan di Kerajaan Negeri Sabah.
“Rasuah adalah satu penyakit cukup besar kalau tidak ditangani jadi satu masalah dan halangan kepada kita selesaikan masalah rakyat seperti bekalan air,” katanya pada jawapan lisan soalan (Datuk Seri Mohd Shafie Afdal-ADUN Senallang) di Persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Mengenai isu penjualan air tangki dikendalikan JANS, Hajiji berlaku Kerajaan Negeri mengambil perhatian serius perkara itu dan meminta Setiausaha Kerajaan Negeri menyiasat.
“Kalau betul kita ambil tindakan, ini satu penyakit serius dan kita tidak kompromi hal-hal berkaitan rasuah ini, yang kita tahu satu penyakit besar kalau tidak dibendung akan menghalang apa juga pembangunan dan program-program kerajaan,” katanya.
Mengenai pembinaan Stesen Jana kuasa Bebas (IPP) Ranhill Sabah Energy (RSE) di Kimanis yang berkapasiti terpasang 100 megawatt (MW) yang dijangka mula beroperasi pada Mac 2026 dan akan menyalurkan tenaga terus kepada Sistem Grid Negeri Sabah, Hajiji berkata ia diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga di peringkat Persekutuan.
“Kita faham projek IPP ini, Kerajaan akan menanggung subsidi kerana dibayar lebih yang dikenakan kepada pengguna..ini satu masalah tetapi untuk mengatasi masalah elektrik di Sabah kita perlu satu sumber tenaga yang boleh selesaikan masalah.
“Saya faham dan setuju dengan saranan Mohd Shafie banyak terlalu banyak dibina IPP bagi mengatasi masalah bekalan elektrik di Sabah.
“Pada masa sama, Kerajaan juga mencari pendekatan lain termasuk pembinaan empangan hidro dan sumber tenaga diperbaharui yang kosnya murah yang memberi kebaikan kepada rakyat,” kata Hajij