KOTA KINABALU : Sabah akan mewujudkan lebih kurang 20,000 peluang pekerjaan merangkumi pelbagai bidang profesional serta pengurusan termasuk jurutera, juruteknik dan pengoperasian di negeri ini.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Menteri Keusahawanan, Phoong Jin Zhe berkata, anggaran peluang pekerjaan akan diwujudkan melibatkan 10 syarikat dalam pelbagai bidang pelaburan membabitkan industri keluli hijau, simen, pengurusan sisa, hab logistik, pemprosesan makanan laut dan lain-lain.
“Peluang pekerjaan ini dijangka akan diwujudkan dalam tempoh tahun 2024 sehingga 2035 sambil mengambil kira tempoh pelaksanaan sesuatu pelaburan tersebut.
“Jumlah peluang pekerjaan ini adalah tidak termasuk pelaburan oleh syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd dan Kumpulan Kibing yang mana mewujudkan 500 peluang pekerjaan bagi syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd dan 2,100 peluang pekerjaan bagi syarikat Kumpulan Kibing kepada rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pada jawapan lisan soalan (Datuk Jaujan Sambakong – Sulabayan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Jin Zhe berkata, kementeriannya kini mempergiatkan usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan asing atau domestik ke Sabah agar lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan.
“Pelaburan asing dan domestik dalam sektor perindustrian adalah amat penting kepada Negeri Sabah dalam usaha untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah sekali gus mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini,” jelas Jin Zhe.